JPNJOHORSorry, your browser doesn't support Java(tm).
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI JOHOR
SUSUR 7, JALAN TUN ABDUL RAZAK
80604 JOHOR BAHRU

PINDAAN PELAKSANAAN PROGRAM NILAM
(PROGRAM MEMBINA TABIAT MEMBACA)
PERINGKAT NEGERI JOHOR

1. PENGENALAN

1.1 Program ini merupakan program yang berterusan sepanjang tahun, bagi semua pelajar di sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh Negeri Johor, secara serentak mulai Januari 1999.

1.1.1 Pelajar tahun 1 akan memulakan program pada semester kedua (Julai 1999).

1.1.2 Pelajar-pelajar lain memulakan program pada 4 Januari 1999.

(Nota:  Jadual dalam Lampiran 3 di muka surat 41 dalam buku
PROGRAM NILAM konsep dan pelaksanaan di sekolah adalah
dibatalkan)

1.2 Aktiviti yang dijalankan dalam program ini tidak terasing daripada proses pengajaran dan pembelajaran malah boleh diserap dan disepadu dalam semua bentuk aktiviti mengikut kesesuaian. Pelaksanaan program ini tidak bertujuan menambahkan beban guru malah ia menjadi pemangkin dalam memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran yang menyumbang ke arah pencapaian akademik yang cemerlang serta membina masyarakat berbudaya membaca.

1.3 Pelbagai aktiviti galakan membaca telah dilaksanakan dengan jayanya di sekolah-sekolah. Pihak sekolah boleh mengubahsuai aktiviti tersebut mengikut persekitaran dan tahap kemampuan murid atau membentuk aktiviti lain melalui daya kreativiti dan inovasi guru-guru.
 

2. PELAKSANAAN

Program NILAM yang akan dilaksanakan di sekolah memerlukan satu strategi yang berkesan. Langkah-langkah berikut perlu dijalankan oleh pihak pentadbir sekolah untuk membolehkan semua warga sekolah memahami dan menghayati program ini.
 

2.1 Taklimat Pengetua / Guru Besar

Sebagai pentadbir sekolah, Guru Besar atau Pengetua harus memahami konsep dan matlmat program untuk dijelaskan kepada warga sekolahnya. Perkara-perkara yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut :
2.1.1 Latarbelakang gerakan membaca
2.1.2. Apa itu NILAM?
2.1.3. Tujuan NILAM
2.1.4. Aktiviti asas NILAM
2.1.5. Tahap pertama NILAM
2.1.6. Tahap kedua NILAM
2.1.7. Sistem kawalan
2.1.8. Sistem Ganjaran
 
 

2.2 Mesyuarat Guru

Kefahaman guru-guru terhadap program membolehkan mereka merangka beberapa strategi pelaksanaan yang berkesan.

2.2.1. Strategi yang dimaksudkan ialah :
         Menyediakan carta organisasi bagi:
        - Menentukan peranan guru PSS, guru kelas dan guru mata pelajaran.
        - Menyediakan senarai tugas dan penglibatan semua staf

2.2.2. Menentukan dan menyusun jadual pelaksanaan

2.2.3. Menentukan bahan mencukupi

2.2.4. Memastikan kelancaran perjalanan program dari segi:
          Pengumpulan data
          Pengesahan
          Pengawalan
          Penilaian
 

2.3 Pengesanan dan Penilaian Program

Keberkesanan program ini oleh pihak pentadbir ditentukan melalui perkara-perkara berikut :

2.3.1 Memastikan pengumpulan data dilaksanakan pada masa yang ditentukan

2.3.2 Menentukan program ini berjalan lancar di semua kelas.

2.3.3. Membuat perjumpaan dengan guru-guru dan membincangkan masalah pelaksanaannya.

2.3.4. Mengambil tindakan mengatasi masalah.

2.3.5. Menentukan intensif-intensif kepada murid-murid di peringkat sekolah.

2.3.5. Mengumpul dan menyimpan data untuk diserahkan kepada guru penyelaras program.

2.3.6. Mengagihkan fail-fail rekod bacaan kepada guru berkenaan pada tahun yang berikutnya.
 

3. BAHAN

Pelaksanaan program memerlukan pengumpulan buku-buku. Bahan-bahan yang diperlukan untuk pelaksanaan program ini.

3.1 Penyediaan bahan yang mencukupi adalah penting.

Untuk menentukan keberkesanan dan kejayaan program ini, bahan-bahan mestilah disediakan dengan secukupnya. Bahan utama yang diperlukan ialah buku bacaan dan buku panduan.

3.1.1. Buku Bacaan
Buku-buku bacaan yang digunakan bagi program ini ialah koleksi buku-buku pusat sumber yang sedia ada. Koleksi ini ditambah setiap tahun sebagimanana yang biasa dijalankan oleh pusat sumber. Selain daripada buku pusat sumber sekolah, buku juga boleh diperolehi daripada Perpustakaan Awam, Perpustakaan Bergerak, Perpustakaan Desa dan lain-lain sumber. Pihak sekolah boleh mendapat khidmat agensi-agensi yang berkenaan bagi kemudahan pinjaman buku.

3.1.2. Rekod Bacaan
Setiap buku yang dibaca mesti direkodkan dalam rekod bacaan. Terdapat pelbagai jenis rekod bacaan yang boleh disediakan. Pihak sekolah boleh menentukan format rekod bacaan dan menyediakannya untuk kegunaan murid. Rekod bacaan ini boleh disediakan sendiri oleh pihak sekolah atau dibuat penyelarasan oleh pihak-pihak tertentu seperti PPD, PKG dan sebagainya.

3.1.3. Bahan Panduan
Buku panduan (PROGRAM NILAM – Konsep dan Panduan Pelaksanaan di Sekolah) disediakan bagi membantu guru-guru menjalankan projek ini. Contoh-contoh aktiviti diberikan dalam buku panduan ini. Pihak sekolah boleh menggunakan contoh-contoh tersebut, mengolah semula mengikut kesesuaian murid atau membentuk aktiviti lain yang dihasilkan atas daya usaha dan kreativiti guru.
 

3.2 Penggredan Buku

Buku-buku di Pusat Sumber terbahagi kepada buku fiksyen dan bukan fiksyen, Buku bukan fiksyen dikelaskan mengikut Sistem Pengkelasan Perpuluhan Dewey. Secara amnya buku-buku tersebut dikelaskan mengikut bidang ilmu dan tidak mengikut tahap kesukaran penggunaannya. Bagi program ini buku-buku perlu digredkan mengikut tahap pencapaian murid. Penggredan bertujuan menentukan kesesuaian buku dengan tahap kebolehan membaca murid-murid. Kumpulan kerja dibentuk untuk menggredkan buku-bukumengikut kesesuaian sekolah. Proses penggredan buku dijalankan seperti berikut :
 

3.2.1. Langkah 1

Kumpulan kerja menentukan kriteria menggred buku. Di antara perkara yang diambil kira ialah kesukaran perkataan yang digunakan., bidang ilmu dan bilangan muka surat. Penggredan berbeda di antara buku bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

3.2.2. Langkah 2

Buku yang digredkan perlu ditentukan cara mengenalinya. Cara yang mudah ialah dengan melekatkan tanda warna mengikut warna yang ditentukan oleh pihak sekolah. Tanda warna dilekatkan di kulit dan di kad pinjaman.
 

3.3 Pinjaman Buku

Bagi menjalankan aktiviti membaca pihak sekolah memberi kemudahan meminjam buku dari PSS dan sudut bacaan kelas kepada murid-murid.

3.3.1. Pusat Sumber Sekolah
Murid-murid diperuntukan masa untuk meminjam buku dari PSS. Mereka boleh meminjam buku supaya buku yang dipinjam sesuai dengan tahap pembacaan mereka. Pinjaman buku di PSS dijalankan mengikut jadual yang disediakan oleh pihak sekolah. Buku-buku dari PSS juga dipinjam secara pinjaman kelompok oleh murid-murid yang mengikut Program NILAM tahap kedua iaitu Rakan Pembaca.   1 waktu perpustakaan setiap minggu yang dikhaskan bagi mata pelajaran bahasa Melayu dan Inggeris, juga boleh digunakan bagi tujuan ini.

3.3.2. Sudut Bacaan Kelas
Apabila murid selesai membaca sebuah buku dan tidak berpeluang untuk meminjam buku yang disediakan di sudut bacaan kelas. Guru membuat pilihan dan meminjam buku secara kelompok untuk dilekatkan di sudut bacaan. Dengan cara ini murid sentiasa dapat meminjam buku dengan mudah. Jika murid tidak pergi ke pusat sumber mendapatkan buku, buku dibawa kepada murid di sudut bacaan kelas.
 

4.  PERANAN

Setiap lapisan dan warga pendidikan mempunyai dan perlu memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program NILAM. Setiap individu mempunyai peranan tertentu bagi menjayakan program ini. Peranan yang dimainkan adalah seperti berikut :
 

4.1. Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) adalah agensi pendidikan yang bertanggungjawab merancang, melaksanakan dan memantau program Nilam ini.  Manakala  Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang merupakan sabordinat JPN pula adalah agensi pendidikan yang paling hampir sekali dengan sekolah.  Oleh itu JPN dan PPD mempunyai tanggungjawab yang besar ke atas kejayaan atau kegagalan program ini.  Di antara peranan JPN dan PPD ialah:

4.1.1. Merancang strategi dan memastikan program dilaksanakan di peringkat sekolah.
4.1.2. Menyelia dan memantau perjalanan dan perkembangan program di sekolah.
4.1.3. Memberikan sokongan, bimbingan dan khidmat nasihat kepada pihak pengurusan sekolah dan sabordinatnya, Penyelaras       PKG dan ibu bapa.
4.1.4. Membuat Laporan tentang perkembangan dan kemajuan program.

4.2. Jemaah Nazir Sekolah

Jemaah Nazir Sekolah sebagai agen utama Kementerian Pendidikan bagi memastikan dasar dan wawasan pendidikan negara dipatuhi dan dicapai dengan jayanya, mempunyai peranan yang penting.

4.2.1. Menyelia dan memantau perjalanan program ini di peringkat sekolah.

4.2.2. Memastikan program ini dilaksanakan oleh semua sekolah sepertimana ketetapan yang telah dibuat oleh Jabatan Pendidikan dan Kementerian Pendidikan.

4.2.3. Memberi bimbingan dan nasihat kepada pihak pengurusan sekolah bagi menjayakan keberkesana program.

4.2.4. Melaporkan perkembangan program.
 
 

4.3. Pusat Sumber Pendidikan Negeri Johor

Pusat Sumber Pendidikan Negeri Johor (PSPNJ) sebagai urusetia program Nilam, bertanggungjawab merancang dan melaksanakan bengkel dan kursus-kursus yang berkaitan, di peringkat Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan Pusat Sumber Sekolah (PSS).

4.3.1. Mengendalikan Taklimat dan Bengkel Program Nilam untuk:
- Pengetua/Guru Besar
- Guru Perpustakaan PSS
- Penyelaras PKG

4.3.2. Menyelia perjalanan dan perkembangan program dari masa kesemasa.

4.3.3. Memberi bimbingan dan khidmat nasihat kepada pihak pengurusan sekolah.

4.3.4. Menganalisis data-data program Nilam di peringkat negeri Johor.

4.3.5. Membuat Laporan Tahunan.
 

4.4. Pengetua / Guru Besar

Pengetua / Guru Besar sebagai pentadbir sekolah bertanggungjawab mempastikan kejayaan pelaksanaan dan keberkesanan program ini. Perkara yang perlu dititikberatkan oleh Pengetua / Guru Besar adalah seperti berikut :

4.4.1. Memahami dasar dan matlamat program.

4.4.2. Memberi taklimat kepada guru dan ibu bapa.

4.4.3. Memastikan pelaksanaan program berjalan lancar melalui :
            penyeliaan
            perjumpaan dengan guru
            temubual murid & ibu bapa
4.4.4. Menggerakan guru-guru untuk menjayakan program.

4.4.5. Mengkaji dan mengatasi masalah / kelemahan bagi menentukan
kejayaan program.

 4.4.6. Menyusun dan menentukan jadual pelaksanaan program.

4.4.7. Berusaha dan menentukan bahan bacaan di sekolah mencukupi.

4.4.8. Mengendalikan dan menganjurkan kursus dan seminar yang berkaitan dengan program bacaan untuk disertai oleh guru-guru.

4.4.9. Menentukan pihak yang layak mengesahkan dan menandatangani rekod bacaan murid.
 

4.5. Penyelaras Pusat Kegiatan Guru

4.5.1 Penyelaras PKG bertanggungjawab memberi bimbingan dan nasihat kepada guru perpustakaan dan PSS dalam melaksanakan program NILAM.

4.5.2. Mengumpulkan maklumat berkaitan program bagi sekolah-sekolah ahli.

4.5.3. Memberikan kursus dan mengendalikan bengkel yang berkaitan dengan program NILAM.

4.5.4. Melawat dan menyelia sekolah-sekolah ahli sekurang-kurangnya dua (2) kali setahun (seklai bagi setiap semester).

4.5.5. Mendapatkan data daripada sekolah ahli untuk tujuan analisis.

4.5.6. Menyediakan laporan program NILAM bagi zonnya.

4.5.7. Lain-lain peranan dan aktiviti yang difikirkan perlu bagi menyokong dan menjayakan program NILAM.
 

4.6. Guru Perpustakaan (Penyelaras Program NILAM Sekolah)

Guru Perpustakaan (Penyelaras Program NILAM Sekolah) bertanggungjawab membentuk satu pasukan kerja untuk melaksanakan program NILAM. Perkara yang perlu dilaksanakan oleh guru PSS ialah seperti berikut :

4.6.1. Menggredkan buku.

4.6.2. Mengagihkan buku secara pinjaman kelompok (bulk loan).

4.6.3. Memilih, menyedia dan mengedarkan rekod bacaan.

4.6.4. Mendapatkan data daripada kelas untuk analisis bagi keperluaN LAPORAN.

4.6.5. Mengesah dan menandatangani rekod bacaan murid.

4.6.6. Menganjurkan aktiviti untuk menyokong program NILAM.
4.7. Guru Kelas / Tingkatan

Dalam pelaksanaan program NILAM guru kelas terlibat secara langsung menjayakan program ini. Tugas mereka adalah seperti berikut :

4.7.1. Mewujudkan sudut bacaan kelas.

4.7.2. Menyampaikan rekod bacaan kepada PSS.

4.7.3. Mendapatkan rekod bacaan daripada PSS.

4.7.4. Mengedarkan buku bacaan.

4.7.5. Membuat pinjaman buku dari PSS.

4.7.6. Menyemak dan merekod data bacaan murid.

4.7.7. Menyimpan dan mengemaskini rekod bacaan murid.

4.7.8. Mengesah dan menandatangani rekod bacaan murid. (Sekiranya ditentukan oleh pihak sekolah).

4.7.9. Memastikan program NILAM ini berjalan mengikut perancangan.
 

4.8. Guru Mata Pelajaran

Kejayaan program NILAM bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh setiap guru mata pelajaran di sekolah terutamanya Guru-guru Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Guru Bahasa Cina/Tamil. Guru-guru ini secara tidak langsung menyumbangkan usaha ke arah kejayaan program ini. Peranan dan tugas yang dimainkan oleh mereka adalah seperti di bawah :

4.8.1. Membantu dalam pemilihan bahan bacaan.

4.8.2. Menggalakkan dan membimbing murid membaca buku-buku fiksyen.

4.8.3. Menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang boleh menjurus ke arah pembacaan aktif.

4.8.4. Mengesah dan menadatangani rekod bacaan murid. (Sekiranya ditentukan oleh pihak sekolah).
 

4.9. Ibu Bapa

Peranan ibu bapa bukan setakat menyediakan keperluan asas untuk anak-anak, malahan mereka turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini. Matlamat program lebih mudah tercapai sekiranya mereka :

4.9.1. Menggalakkan anak-anak membaca di rumah dengan bimbingan daripada ibu bapa.

4.9.2. Menyediakan bahan bacaan di rumah (jika berkemampuan).

4.9.3. Membuat pinajaman bahan bacaan daripada sumber lain (Perpustakaan Awam, Desa, Bergerak dan sebagainya).

4.9.4. Memastikan anak-anak sentiasa mempunyai bahan untuk dibaca dan membuat membuat rekod bacaan.

4.9.5. Mengesah dan menandatangani rekod bacaan anak-anak. (Sekiranya ditentukan oleh pihak sekolah).
 

4.10.     Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PPSS) / Pustakawan Sekolah

Pengawas PSS / Pustakawan Sekolah sama-sama terlibat menjayakan program NILAM ini. Mereka bukan sahaja dapat membantu guru perpustakaan, malahan mereka juga merupakan agen penggerak program ini. Tugas mereka adalah seperti berikut :

4.10.1. Membantu murid untuk meminjam buku di PSS.

4.10.2. Membuat pameran buku-buku yang sesuai untuk dipinjam.

4.10.3. Membantu guru Perpustakaan  menyediakan pinjaman kelompok (bulk loan)

4.10.4. Membantu guru Perpustakaan manganalisis data bacaan murid.

4.10.5. Mempamerkan graf-graf bacaan murid.
 

4.11. Pelajar

Secara langsung program ini melibatkan murid-murid secara aktif . Mereka merupakan sasar yang akan menentukan kejayaan program NILAM atau sebaliknya. Peranan murid-murid adalah seperti berikut :

4.11.1. Membaca buku sebanyak yang mungkin.

4.11.2. Menentukan bahan bacaan yang dibaca itu direkod.

4.11.3. Menentukan sentiasa mempunyai bahan bacaan tidak kira dimana sahaja.

4.11.4. Mendapat bahan bacaan daripada pelbagai sumber.

4.11.5. Memastikan mereka mencapai tahap pembacaan yang telah ditetapkan untuk mendapatkan pengiktirafan.

4.11.6. Menjadi rakan pembaca bagi mereka yang layak dan berkeyakinan.
 

5. PENGUMPULAN DATA

Pengumpulan data adalah satu perkara yang amat penting dalam pelaksanaan Program NILAM. Data bacaan setiap pelajar perlu dikumpulkan bagi membolehkan analisis dan laporan kemajuan bacaan dibuat. Bagi menjamin keberkesanan program, dicadangkan pengumpulan data dibuat seperti langkah-langkah berikut :

5.1. Mengisi butiran dalam buku maklumat bacaan murid. Sebuah buku maklumat bacaan diperuntukkan kepada setiap murid sepanjang tahun persekolahan. Butiran pembacaan diisi selepas bulan tersebut iaitu di minggu pertama bulan berikutnya. Butiran yang diisi ialah judul buku dan jumlah buku yang dibaca dalam bulan berkenaan.

5.2. Buku malumat bacaan dihantar ke PSS pada minggu kedua. Guru PSS akan memasukkan maklumat ke dalam komputer dengan menggunakan perisian yang disediakan bagi tujuan ini. Penyediaan rekod berpusat dijalankan oleh sekolah-sekolah yang mempunyai kemudahan komputer. Bagi sekolah-sekolah lain buku maklumat bacaan menjadi rekod utama.

5.3. Pengisian Butiran Bacaan. Laporan butiran bacaan disediakan dengan cara:

5.3.1. Guru mengisi butiran bacaan ke dalam kad kemajuan setiap tahun berdasarkan entri dalam buku maklumat bacaan yang telah disahkan.

5.3.2. Oleh kerana projek ini baru dilaksanakan, kad kemajuan murid tiada memperuntukkan ruang untuk merekod pencapaian program NILAM. Dicadangkan guru mengisi rekod bacaan ini dengan menggunakan RUBBER-STAMP  di mana-mana ruang kosong  di dalam kad kemajuan bagi setiap tahun persekolahan.

Contoh cadangan rubber-stamp:
 

PROGRAM NILAM
(TAHAP JAUHARI / RAKAN PEMBACA)
Tahun 1999

Bilangan buku yang dibaca : _________________

Pencapaian : asas / sederhana / tinggi / tertinggi

Tanda Tangan Ibu Bapa: ____________________
 

5.3.3. Adalah dicadangkan setiap kali pelajar mencapai sesuatu tahap dan pengiktirafan/ganjaran (gangsa/perak/emas/nilam) mereka perlu diberikan pengiktirafan dengan kadar segera.

5.3.4. Pencapaian keseluruhan di atas perlu dicatatkan ke dalam :
            Kad Kemajuan
            Surat Berhenti Sekolah
            Surat Akuan Sekolah
            Surat Pindah Sekolah

5.3.5. Sekiranya diperlukan maklumat bacaan terperinci bagi setiap pelajar, ianya boleh diperolehi daripada sistem Pengautomasian PSS (Rekod Berpusat) atau buku makluamt bacaan pelajar bagi sekolah yang belum menggunakan sistem pengautomasian PSS.
 

PN/BTP/MK/waimiss….
 

[Borang Nilam SK][Borang Nilam SRJK(C)][Borang Nilam SRJK (T)][Borang Nilam SMK]
[Latar Belakang][Objektif][Pengoperasian][Pengoperasian][Peranan Peyelaras][Perancangan]
[Fizikal PKGJ39][Sekolah Ahli][Aktiviti][Nilam][Perpustakaan]
PKG