PUSAT SUMBER SEKOLAH
SEK. MEN. KEB. TUN SARDON, BATU PAHAT, JOHOR.
(Johan Pertandingan PSS Katagori SM Luar Bandar Peringkat Kebangsaan)
 
 

Pusat Sumber Sekolah (PSS) adalah nadi dan pusat pembelajaran yang penting di dalam sesebuah institusi pendidikan.  Justru itu, SMK Tun Sardon, Rengit telah membina Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang berkonsepkan keterbukaan dan menjadikan semua benda yang terdapat di sekolah sebagai bahan sumber dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Konsep PSS yang terbuka luas di SMK Tun Sardon, telah mengabungkan pelbagai program yang diintegerasikan dengan begitu padu, mampan dan dengan bantuan penggunaan komputer yang meluas bagi menjana segala sumber yang ada untuk memastikan ianya memberikan manfaat yang maksima kepada pelajar dan guru.

Konsep PSS SMK Tun Sardon dapat dirumuskan seperti berikut:
i. PSS yang bersifat sejagat (universal)
ii. PSS tanpa sempadan
iii. Semua benda yang ada merupakan sumber pendidikan (Maklumat diperolehi daripada buku dan bahan bercetak, taman, tembok, kolam, internet dan lain-lain sumber)
iv. Pembangunan sekolah adalah merupakan pembangunan PSS.

Dengan penyediaan pelbagai kemudahan sumber  pengajaran dan pembelajaran di PSS dan pendedahan yang meluas, telah memberi impak yang jelas dalam peningkatan pencapaian prestasi akademik para pelajar.  Impak daripada penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran di PSS yang tidak terbatas ini telah dijelmakan melalui keputusan peperiksaan PMR, SPM dan STPM tiga tahun kebelakangan ini.

Program integrasi PSS merentasi kurikulum melalui mural telah dilaksanakan bagi mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa inggeris bagi pelajar tingkatan satu dan dua.  Manakala realia  "mini bakun", "taman aroma",  "warisan bonda",  "pokok kapas" dan  "pokok asam jawa" digunakan dalam pelajaran geografi,  kajian fabrik ERT dan mengenali ekosistem alam semulajadi.

Disamping itu PSS digunakan secara maksima di dalam pengajaran dan pembelajaran kelas-kelas bestari tajaan sekolah ini sendiri.  Sehingga kini sebanyak 8 kelas yang meliputi  tingkatan 1 hingga 5 mendapat faedah daripada program ini.  Kumpulan pertama yang mengikuti program ini iaitu seramai 30 orang pelajar kini sedang menunggu keputusan SPM masing-masing.

Sungguhpun PSS SMK Tun Sardon ini terletak di luar bandar, tetapi ianya telah dilengkapi dengan sistem pengautomasian PSS.  Sistem PSS berkomputer ini digunakan untuk tujuan katalog, pinjaman, pemulangan dan penyimpanan rekod bahan buku dan bukan buku.  Segala maklumat PSS di on-line kan ke bilik Pengetua, Bilik Guru dan Bilik  Mesyuarat/Taklimat.  Bagi memudahkan urusan dan proses peminjaman dan pemulangan bahan,  PSS sekolah ini juga dilengkapi dengan bar-code scanner .

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah penyokong dan pendokong kuat dalam usaha menjadikan PSS sekolah ini sehingga berada di tahap ini.  Sehingga 1999, PIBG telah menyumbangkan sebanyak RM 125,000.00 bagi membiayai kemudahan-kemudahan PSS seperti networking (LAN), langganan internet dan juga server untuk ISDN.  Tanpa sokongan dan sumbangan PIBG dan juga komitmen guru-guru sekolah ini PSS tidak akan dapat berfungsi sepenuhnya.

Kecemerlangan SMK Tun Sardon ini telah dijelmakan melalui kemenangan beberapa pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.  Di antara anugerah yang dimenanginya ialah Johan pertandingan PSS peringkat negeri tahun 1998 dan 1999, Johan mencipta glider Kebangsaan 1999, Sekolah cemerlang daerah Batu Pahat 1999, tempat ketiga pertandingan menulis esei Pengguna Johor dan esei ekonomi kebangsaan 1999 dan Johan sekolah harapan negara daerah Batu Pahat 1999.
 

Pengetua SMK Tun Sardon, Rengit:  PN. HJH. SALAMAH BTE BAHROM
Penyelaras PSS SMK Tun Sardon:  TN. HJ. CHIN BIN RUPEE